Lagu

Saturday, January 7, 2017

2017

Selamat datang 2017.
Alhamdulillah dipanjangkan Allah umurku. Kesyukuran aku panjatkan pada Allah yang mencipta sekalian alam.  Tahun ini bermula kehidupan lain yang aku pilih dan nekad untuk meneruskan. Tidak ada kesakitan dan kelukaan sekiranya aku tidak membiar perasaan mengenangkan. Semuanya baik-baik saja. Apapun jenis kehidupan yang kita lalui, penghujungnya kematian dan akan bertemu Tuhan. Harapnya pengakhiran yang baik untuk aku dan untuk semua yang mahukan sedemikian baik kawan-kawan atau pihak yang bermusuhan. Aku maafkan seandainya ada kekhilafan, ada kesilapan dan kebencian. Setelah melalui hidup ini hampir 43 tahun insyaAllah, aku tahu semua perasaan negatif dan buruk tidak berkekalan. Jiwa yang baik sentiasa mohon keampunan Tuhan. Dalam banyak keadaan kemaafan sukar untuk diungkapkan. 

Masih sahaja emak diingatan... Cuma sengaja kadang-kadang aku elak untuk mengenangnya dalam-dalam. Semua kerana aku tidak terdaya menahan pedih kerana kerinduan.

Bertugas kembali di Sekolah lama tidak membebankan. Aku boleh suaikan diri malah terasa mendapat semula momentum kerja. Kawan-kawan lama tetap baik dan mesra. Pelajar yang pelbagai kaum buatkan aku suka saja.

1 Januari 2017, keluar beli bahan nasi beriani, masak untuk keluarga tapi itu menjadi punca aku  diperlakukan. Terima kasih kerana menjadikan aku jelas dengan apa yang kau lakukan. Semoga Allah memelihara kita selamanya

Sunday, November 27, 2016

kerinduan ini mak....

mak
rindu pada mak adalah perasaan yang dalam
rindu pada mak adalah kecintaan yang banyak
rindu pada mak adalah doa-doa yang berpanjangan

mak
mengharap mak hadir di depan mata
bukanlah permintaan bijak
mengharap mak bahagia di sana
itu sentiasa

mak
rupanya begini rasanya kehilangan
setelah berdekad hidup dalam perkataan
kenyataannya tidak pernah ada sesiapa berjaya memahamkan
begini pedih dalam berperasaan

mak..
sumyinya tanpa mak
dosa-dosa pada mak jelas kelihatan
maafkan ngah mak
atas semua kekurangan

Sunday, March 22, 2015


Rentan dan Pertemuan

Rentanku pada semalam yang tersia
emnjadikan aku terkesima.
Akal...
Engkau di mana?
Hati...
Engkau ke mana?
Benak...
Kenapa berbagi dua? 

Rentanku pada kelmarin yang luka
melahirkan semula aku
yang tiba-tiba tua.

Tuhan,
terima kasih...
Engkau ketemukan akalku dengan kewarasan kerana manisnya iman
Engkau pulangkan hatiku yang tersasar kerana indahnya amal
Engkau satukan benakku dengan keyakinan kerana hidup perlu rasa bertuhan.

23 Mac 
Edited by Rozie from "karyaku"

Tuesday, September 23, 2014






Pemacu Mata Insan (23/9/14)

Acapkali menilai dunia
Wajahnya sering berbeza
mendatangiku kadangkala penuh rela
adakalanya penuh seksa dan memberi noda

lalu ku fikir
dari kaca mata apa aku mendasari penglihatan ini
berpangkal persepsi buta
atau nafsu semata

Pastinya
ku tahu iman itu 
yang layak memacu 
segala pandangan pada dunia dan isinya



Sunday, December 29, 2013

Kecapilah Sayang


Anak Umi  masuk ke alam baru. Rasanya baru semalan Alif masih "baby". Perasaan Umi bercampur baur melihat Alif dengan seragam sekolah menuju kelas 1 Shafie. itulah pengalaman Alif, yang akan Alif abadikan sepanjang nyawa dikandung badan. Arena sekolah rendah arena hebat. Kenangan paling mahal daripada episod kita digelar insan, buat Umi. Mungkin Alif jugak. Nikmatilah sayang, alam indah dunia masyarakat kanak-kanak. Belajarlah dari alam dan isinya di dunia Sk Tok Bedor. Di sana khazanah ilmu yang ditakdirkan Alif menghabiskan sebahagian besar masa yang dikurniakan tuhan untuk tempoh 6 tahun, insyaAllah diizin tuhan.

Apabila Umi dan ayah  menghantar Alif ke sekolah hari ini, Umi pasti teringatkan kakak yang comel mendaftar di darjah satu pada 2010. Umi pasti tersenyum acapkali melihat gambar kakak pada hari bersejarah itu. Ceria wajah kakak, seceria wajah Alif, cuma senyum simpul perempuan kakak memaknakan sebuah keindahan sifat itu pada kami kaum Hawa. Apa kurangnya Alif, selesai sahaja menjawab soalan transisi, satu kelas, malah satu sekolah Alif tawaf. Menikmati sungguh dunia baru Alif. Umi membayangkan dunia Ayah ketika ayah seusia Alif. Ayah senyum sahaja, apabila Umi mengusik begitu.

Umi tinggalkan catatan ini buat Alif dan kakak, sebagai kenangan andainya Umi tidak ada lagi didunia ini. Betapa bahagianya Umi dan ayah dengan kehadiran Alif dan kakak sebagai sebahagian nikmat Allah yang dipinjamkan untuk menguji sabar dan kebijaksanaan mengatasi perasaan yang seribu satu cabaran.

Wahai Allah jadikanlah anakku anak-anak yang mewarisi akhlak para nabi. Anak-anak yang memberi manfaat dan kesejahteraan pada alam dan isinya. Anak-anak yang sentiasa meletakkan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Amin




Saturday, November 9, 2013

PBS

i.

Bertenanglah
Bukan kau saja yang bergelar cikgu
Bukan fikiran kau saja dibelenggu
Bukan jiwa kau saja menggerutu

Berlapang dada lah
Kerisauanmu beerti kerisauan sahabat2 mu
kebingunganmu , kebingungan sahabat2 mu
Memang bertali temali persoalan di benak dan akalmu
Biarkan…kau pasti bukan sendiri mengadap sistem yang satu..
PBS …

ii.
Menjadi kecindan
Walau patah kata terkulum
Menjadi hingar walau dalam sunyi mengulit mimpi
Menjadi hanyir walau dalam jernih jujur yang mengalir
Membusukkah penghujungnya..
Mekarkah pucuk melebar dedaun nan meneduh
Menunggu saja...
Menanti saja...

Bukankah pasrah itu kita diajari

Thursday, October 17, 2013

PENGORBANAN...

Pengorbanan tidak pernah menjadi satu kesilapan dalam menempuh hidup. Tetap menjadi pahala di sisi tuhan walaupun kadang-kadang amat menyakitkan. Memilih untuk berkorban bermakna memilih untuk merelakan, sama ada perasaan dan kebendaan. Andai kewarasan dan iman masih bersisa, tapisan pengorbanan bersandarkan redha tuhan. Tapisan yang memungkinkan pahala menjadi milik insan. Kesannya kelegaan yang panjang dan menanggung pedih dan sakit akibat pengorbanan dalam pasrah. 
Namun pengorbanan banyak yang membuatkan pelakunya terkorban. Malah menjadi hina di sisi tuhan. Harus bagaimana mendidik hati menapis segala kerja buat kita sebelum bekorban bagi memungkinkan pengorbanan itu memberi impak baik lagi berpahala kepada kita serta memberi kemaslahatan kepada umum.