Lagu

Tuesday, December 28, 2010

Perjuangan Perlu diteruskan...

TAUBAT adalah kembali daripada melakukan maksiat. Orang yang berdosa itu seolah-olahnya meninggalkan Allah dengan tidak taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka, apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah.

Allah memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Allah turut berjanji menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

Ulama sepakat bahawa taubat itu wajib dilakukan segera dan berterusan sama ada dari segala dosa kecil atau besar. Perkara ini dijelaskan dalam firma-Nya bermaksud: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan mengenai kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya?) Pada hal, Allah amat pengampun lagi amat mengasihani.” (Surah al-Maidah, ayat 74)

Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat. Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu.

Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu berlinangan air mata. Lalu, Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat, kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Lukman Hakim berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya.

“(Kalau tidak) maka, dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal matiku) ke suatu masa yang sedikit saja lagi. Hal itu supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh.

“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.

Menurut pendapat ulama secara ringkasnya taubat Nasuha adalah mencabut daripada melakukan dosa pada masa itu. Menyesali perbuatan dosa lalu dan berazam tidak akan melakukan dosa pada masa akan datang. Kemudian, jika dosa itu berkait dengan manusia, hendaklah dikembalikan kepadanya.

Said bin Jabar Rahimahullah berkata: “Taubat tidak akan diterima, selagi tidak menyempurnakan tiga syarat iaitu takut tidak diterima, mengharap diterima dan menghitung taat.”

Imam Kartobi Rahimuhullah berkata: “Taubat menghimpunkan empat perkara iaitu istigfar dengan lidah, meninggalkan dengan badan, menyembunyikan keinginan untuk kembali semula dan meninggalkan keburukan.”

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan, disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui lagi amat bijaksana.” (Surah an-Nisa, ayat 17)

Jamhur ulama menyatakan maksud taubat yang dekat ialah taubat sebelum hampirnya kematian. Allah menerima taubat hamba-Nya yang derhaka, selagi roh ada dalam badan.

Perkara ini menunjukkan seelok-elok taubat adalah ketika sihat untuk membolehkannya melakukan amal soleh. Sebab itu, Allah gandingkan kalimah taubat dengan amal soleh dalam banyak tempat.

Taubat ketika hampir mati, sama dengan menyedekahkan harta ketika kematian sudah datang. Ia seolah-olah seseorang tidak akan bertaubat, melainkan apabila sudah sakit, setelah kekuatan dan kesihatannya digunakan sepenuhnya tenggelam dalam syahwat dan kelazatan dunia.

Apabila putus asa dari kehidupan dunia, barulah hendak bertaubat, bukanlah ini cara bertaubat sebenar.

Oleh itu, ketika usia masih ada, lakukan taubat sepenuh hati, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang mulia . Pada Ramadan Allah berjanji untuk mengampunkan dosa umatnya bertakwa sepenuh hati terhadap-Nya. Marilah kita rebut peluang ini dengan melakukan taubat di atas kesalahan sama ada dosa kecil atau besar.

http://klikkhas.bharian.com.my/klikkhas/salamaidilfitri/Artikel/RehalRamadan/20090820184953/Article/index_html

Friday, December 24, 2010

Selamat Tahun Baru 1432H......













Mungkin agak terlambat untuk mengalu-alukan yang telah tiba. Namun sekurang-kurangnya belum berakhir. Ya Muharram....selamat datang. Aku masih di sini dan masih kurang berubah. Doaku agar istiqamah menjadi milikku yang abadi. Ahh...bukankah manis sentiasa mengecapi nikmat iman dan islam. Hidup pastikan damai dan tenang biar dalam beribu dugaan mendepaniku.
Tuhan..jangan berpaling dariku. Kumohon basuhlah debu-debu dosa yang menebal ku kira, yang menghalang pandangan mata akal warasku dari perkara-perkara yang mengancam iman yang membenih dijiwa ini. Jadikanlah semua orang-orang di sekelilingku sebagai sahabat-sahabat yang saling memperkukuhkan satu sama lain menagih redha dan rahmatMu.
Ku serahkan hatiku yang berbolak balik padaMu wahai Allah utk Kau perteguhkan demi mendaulatkan agamaMu.

Thursday, December 16, 2010

Ujian dan Kegagalan




Berkesempatan tika ini untuk menulis lagi tentang sesuatu yang berlegar dalam kehidupan kita sebagai manusia. Alhamdulillah dua kertas exam selesai aku duduki. Sesak rasanya nafas nak menghabiskan apa yang dinamakan peperiksaan, apatah lagi "adult learner". Setiapkali berdepan dengan peperiksaan persoalan lulus gagal tak dapat dielak untuk dibicarakan. "Apa salahnya gagal, boleh cuba lagi" teringat kata-kata salah seorang pensyarahku. Selagi gagal dan cuba lagi bukanlah gagal..gagal yang sebenar ialah berputus asa. Teringat bait-bait kata dalam filem triller "The Hunted Masion" ketika menonton dengan anak-anakku. Betul, aku setuju.

Tidak semua perkara diukur dengan peperiksaan. Kejayaan dalam peperiksaan pula tidak dapat menjadi kayu pengukur kepada kepuasan dalam diri manusia. Banyak perkara yang memerlukan kita berusaha mengenepikan erti putus asa. Hidup ini sementara sedangkan kehidupan menuntut pelbagai perkara yang memerlukan masa. Berkualitikah masa kita? Berapa banyak masa yang kita sia-siakan tanpa sebarang makna. Bukankah semuanya akan ditanya di mahkamah Allah nanti akan ke mana masa kita habiskan selama kita bernyawa?
Masa adalah nikmat Allah kepada kita .Setiap nikmat yang kita terima akan menuntut haknya pada hari kiamat kelak. Dari mana kita ambil dan kemana kita gunakannya.
Nabi saw bersabda:

" Anak adam pasti akan ditanya 4 perkara pada hari kiamat kelak

1. DItanya tentang umurnya bagaiman ia habiskan.

2. Ditanya tentang masa remajanya bagaimana dia menggunakannya.

3. Ditanya tentang hartanya , dari mana ia ambil dan ke mana dia gunakannya.

4 . Ditanya tentang ilmunya sejauh mana pengamalannya.

Hadis riwayat tirmizi.

Kesimpulannya kita akan gagal sentiasa...selagi tiada hubungan hati dengan Allah dalam setiap tindak tanduk.Kegagalan melingkari kita di mana-mana saja. Kita tidak boleh menjadi hamba yang sentiasa gagal. Memperjuangkan sesuatu yang kita pasti kebenarannya akan dikira ibadah di sisiNya. Sungguh luas makna berjaya di sisi Allah s.w.t. Tatkala kita menerima kegagalan dengan rasa kecewa, Allah kurniakan pula kekuatan sebagai ganjaran untuk kita bangkit dan cuba lagi. Pada diriku aku ingatkan..Jangan lupakan Tuhan..kerana ada Tuhan...ada kejayaan.