Lagu

Saturday, October 12, 2013

Dyana

Ya rabbi..  alhamdulillah..akhirnya dapat semuala menjengah blog sendiri yang begitu lama terbiar. Atas faktor umur barangkali..terlupa password untuk log in. Tidak seharipun kita lalui tanpa suatu peristiwa yang membekas di hati dan berantai-rantai menjadi pengalaman. Catatan menyegarkan minda, catatan menjadi kanta, menjelaskan lagi segala yang kita lalui. Namun, tidak mudah untuk semua daripada kita melakukannya, apatah lagi alaf ini menjadikan kita sentiasa padat dgn agenda sehari-hari. 
          Dalam kepala waktu menaip kali ini, ada Dyana. Entah kenapa setiapkali memandang wajahnya, seperti ada kehebatan tersembunyi di situ. Air mukanya ada ketabahan, ada azam yang tekad. Mengharungi hari di zaman yang moden ini dengan gaya dan pilihan cara sendiri. Setiapkali pergi dan balik dari mengajar, kelibat dia hampir pasti aku perhatikan. Kayuhannya kayuhan pasti. Kayuhan yang benar-benar menuju tempat mencari ilmu. Bagai wajib dia akan memakai seluar sekolah bersama kain sekolah. Itulah yang memungkinnkan kayuhannya laju dan jitu. Menjadikan dirinya semakin cantik di mataku. 
          Satu hari ketika waktu menggantikan kelas kawan-kawan, aku mengambil kesempatan untuk berbual dengan Dyana. Sopan dan yakin dalam bicaranya, walaupun sesekali aku dapat melihat dia agak merendah diri. Ayah Dyana telah meninggal dunia 2 tahun lepas. itu bukan intipatinya. Pemergiaannya telah meninggalkan jawapan dan rahsia yang belum sempat dirungkai Dyana. Pemergiaan ayahnya menjadikan Dyana semacam putus harap mencari kakak kembarnya yang diserahkan kepada orang lain sejurus selepas dilahirkan. Alangkah indahnya kasih sayang yang menjalar ke jiwa anak sunti ini. Mengulit rindu dan kasih pada saudara yang tidak pernah ditatap. Ketika menceritakan hasrat hati mulusnya, seakan-akan dia akan memeluk erat kakaknya andai kata takdir menemukan mereka. 
         Kemiskinan, kepayahan dan desakan hidup memungkin apa saja. Zuriat amat istimewa. Tidak ada kayu pengukur untuk memilih antara dua, siapa yang tinggal dan siapa yang patut diserahkan meniti hidup disamping orang lain sebagai keluarga sampai ke mati. Dyana pasrah. Bukan kakaknya tidak disayangi keluarga, namun takdir memilih untuk begitu. Sangka baiknya pada bapa yang menyerahkannya kembali ada. 
                   Aku terus memerhatikannya dari jauh. Setiapkali melalui kelas 3D, mataku meleret mencari dyana, pelajar tabah yang bersungguh-sunggguh mencari sinar dalam hidup. Ayuh Dyana...teruskan istiqamah mencari kehebatan di dalam dunia ini. Terlalu banyak lagi tersembunyi. Tuntunlah diri, tuntunlah hati berlandaskan iman daripada tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. 
         

No comments:

Post a Comment