TAUBAT adalah kembali daripada melakukan maksiat. Orang yang berdosa itu seolah-olahnya meninggalkan Allah dengan tidak taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka, apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah.
Allah memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)
Allah turut berjanji menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)
Ulama sepakat bahawa taubat itu wajib dilakukan segera dan berterusan sama ada dari segala dosa kecil atau besar. Perkara ini dijelaskan dalam firma-Nya bermaksud: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan mengenai kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya?) Pada hal, Allah amat pengampun lagi amat mengasihani.” (Surah al-Maidah, ayat 74)
Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat. Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu.
Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu berlinangan air mata. Lalu, Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat, kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”
Lukman Hakim berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya.
“(Kalau tidak) maka, dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal matiku) ke suatu masa yang sedikit saja lagi. Hal itu supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh.
“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”
Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.
Menurut pendapat ulama secara ringkasnya taubat Nasuha adalah mencabut daripada melakukan dosa pada masa itu. Menyesali perbuatan dosa lalu dan berazam tidak akan melakukan dosa pada masa akan datang. Kemudian, jika dosa itu berkait dengan manusia, hendaklah dikembalikan kepadanya.
Said bin Jabar Rahimahullah berkata: “Taubat tidak akan diterima, selagi tidak menyempurnakan tiga syarat iaitu takut tidak diterima, mengharap diterima dan menghitung taat.”
Imam Kartobi Rahimuhullah berkata: “Taubat menghimpunkan empat perkara iaitu istigfar dengan lidah, meninggalkan dengan badan, menyembunyikan keinginan untuk kembali semula dan meninggalkan keburukan.”
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan, disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui lagi amat bijaksana.” (Surah an-Nisa, ayat 17)
Jamhur ulama menyatakan maksud taubat yang dekat ialah taubat sebelum hampirnya kematian. Allah menerima taubat hamba-Nya yang derhaka, selagi roh ada dalam badan.
Perkara ini menunjukkan seelok-elok taubat adalah ketika sihat untuk membolehkannya melakukan amal soleh. Sebab itu, Allah gandingkan kalimah taubat dengan amal soleh dalam banyak tempat.
Taubat ketika hampir mati, sama dengan menyedekahkan harta ketika kematian sudah datang. Ia seolah-olah seseorang tidak akan bertaubat, melainkan apabila sudah sakit, setelah kekuatan dan kesihatannya digunakan sepenuhnya tenggelam dalam syahwat dan kelazatan dunia.
Apabila putus asa dari kehidupan dunia, barulah hendak bertaubat, bukanlah ini cara bertaubat sebenar.
Oleh itu, ketika usia masih ada, lakukan taubat sepenuh hati, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang mulia . Pada Ramadan Allah berjanji untuk mengampunkan dosa umatnya bertakwa sepenuh hati terhadap-Nya. Marilah kita rebut peluang ini dengan melakukan taubat di atas kesalahan sama ada dosa kecil atau besar.
http://klikkhas.bharian.com.my/klikkhas/salamaidilfitri/Artikel/RehalRamadan/20090820184953/Article/index_html
No comments:
Post a Comment