Anak Umi masuk ke alam baru. Rasanya baru semalan Alif masih "baby". Perasaan Umi bercampur baur melihat Alif dengan seragam sekolah menuju kelas 1 Shafie. itulah pengalaman Alif, yang akan Alif abadikan sepanjang nyawa dikandung badan. Arena sekolah rendah arena hebat. Kenangan paling mahal daripada episod kita digelar insan, buat Umi. Mungkin Alif jugak. Nikmatilah sayang, alam indah dunia masyarakat kanak-kanak. Belajarlah dari alam dan isinya di dunia Sk Tok Bedor. Di sana khazanah ilmu yang ditakdirkan Alif menghabiskan sebahagian besar masa yang dikurniakan tuhan untuk tempoh 6 tahun, insyaAllah diizin tuhan.
Apabila Umi dan ayah menghantar Alif ke sekolah hari ini, Umi pasti teringatkan kakak yang comel mendaftar di darjah satu pada 2010. Umi pasti tersenyum acapkali melihat gambar kakak pada hari bersejarah itu. Ceria wajah kakak, seceria wajah Alif, cuma senyum simpul perempuan kakak memaknakan sebuah keindahan sifat itu pada kami kaum Hawa. Apa kurangnya Alif, selesai sahaja menjawab soalan transisi, satu kelas, malah satu sekolah Alif tawaf. Menikmati sungguh dunia baru Alif. Umi membayangkan dunia Ayah ketika ayah seusia Alif. Ayah senyum sahaja, apabila Umi mengusik begitu.
Umi tinggalkan catatan ini buat Alif dan kakak, sebagai kenangan andainya Umi tidak ada lagi didunia ini. Betapa bahagianya Umi dan ayah dengan kehadiran Alif dan kakak sebagai sebahagian nikmat Allah yang dipinjamkan untuk menguji sabar dan kebijaksanaan mengatasi perasaan yang seribu satu cabaran.
Wahai Allah jadikanlah anakku anak-anak yang mewarisi akhlak para nabi. Anak-anak yang memberi manfaat dan kesejahteraan pada alam dan isinya. Anak-anak yang sentiasa meletakkan kepentingan agama mengatasi segala-galanya. Amin