Lagu

Wednesday, November 9, 2011

Debu-debu Dosa

Kerana kehidupan  berkisar tentang ingat memperingati, maka manusiapun menggunakan segala indera memenuhi tuntutan mulia itu. Berkesaan hati saya mendengar dan menghayati lirik Debu-debu Dosa dari kumpulan Hijjaz. Semoga sama-sama dapat menikmatinya

Kesempurnaan Tuhan

Lama sungguh tak menjenguk laman blog saya. Sebenarnya terasa sungguh sedang mengharung suatu period masa yang mencengkam. Entah apa yang membelenggu jiwa hingga kurang bijak merencana masa. Semua orang membicarakan tentang hidup dari kaca mata sendiri berdasarkan pengalaman dan persekitaran. Ilmu di dada yang cetek seringkali memberi kita tingkah berbeza-beza. Usia yang banyak tidak mengukur apa-apa kadangkala... Secara peribadi, ada ketika terasa kurang bijak bertindak. Ruang muhasabah membuatkan diri manusia jelas akan keterpesongan akal sendiri. Memang itu hakikat. Biaskanlah Ya Allah segala keindahan nikmat islam dan iman pada diriku yang kerdil ini. Sesungguhnya kesempurnaan itu milikMu.....


Pengharapan Pada yang Satu
                     
Biaskanlah ya  tuhan
dari kehijauan bumi ciptaanMu, kedamaian
pada hati semua hambaMu
agar hilang gelisah ,musnah memusnahkan

biaskanlah kejujuran dari jernih mata air dari perut bumimu
pada hati kami, agar tulusnya memberi kemilau pada
makna sebuah ikatan yang berkekalan

wajah-wajah sebu dan kusam
kerana hasad dan dendam
melewati kedewasaan insan
memberi natijah dari zaman ke zaman
Semoga biasan kesempurnaan
Dalam kejadian ciptaanMu
Menguntum bahagia buat semua

Saturday, August 13, 2011

Hentian Rehat dan Rawat


Setelah berkursus selama hampir sebulan, saya kembali ke sekolah. Hari pertama ke sekolah, saya tidak mengajar. Pelajar bukan kelas peperiksaan menduduki Ujian Penilaian 2. Kerinduan untuk mengajar tak kesampaian. Setelah selesai ujian penilaian 2, semua guru sibuk menyemak kertas ujian pelajar masing-masing, termasuklah saya yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Setelah menyemak semua kertas ujian untuk 3 kelas saya, saya agak kecewa, kerana terdapat pelajar tidak mampu menjawab soalan rumusan, yang pada saya tidaklah sesukar mana, kerana isi karangan disertakan pada gambar rajah. Pelajar hanya perlu mengembangkan isinya sahaja. Soalan berbunyi,

Berdasarkan gambar rajah di bawah, huraikan kelebihan Hentian Rehat dan Rawat kepada pengguna yang berhenti di sana. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Minggu berikutnya, saya masuk ke satu kelas, untuk membuat pembetulan karangan rumusan. Sebelum mengajar, saya meminta pelajar memberi pandangan dan buah fikiran tentang R&R. Ramai pelajar yang teruja untuk bercakap. Ada juga segelintir pelajar yang mendiamkan diri. Setelah beberapa orang pelajar menyampaikan pendapat, saya meminta seorang pelajar yang berada paling belakang memberi pandangan tentang R&R. Suaranya tenggelam dengan suara pelajar lain yang gharah menjawab. Disebabkan suaranya tidak kedengaran, saya menghampiri pelajar berkenaan.
"Boleh bagi tahu cikgu tentang R&R di lebuh raya tu?" tanya saya.

Pelajar tersebut berdiri sambil tersipu-sipu, dan mengangkat mukanya lambat-lambat.

"Saya...saya tak tahu cikgu. Saya tak pernah naik lebuh raya cikgu"jawabnya jujur.

Saya terdiam sebentar. Diam saya kerana tiba-tiba kepala saya jadi sarat. Sarat dengan perasaan yang bercampur-baur. Sarat dengan pelbagai persoalan... hakikatnya saya amat sedih. Saya tak sanggup pun melihat air mukanya setelah jawapan itu diberikan buat cikgunya yang hanya mahukan jawapan yang dijangkakan mudah untuk dijawab. Apa lagi nak saya ungkapkan.. Saya beredar dari kelas berkenaan dengan muhasabah yang panjang...




Secebis kisah, Selaut Hikmah


Selama kita hidup, kita sentiasa berdepan dengan manusia yang pelbagai ragam tingkahnya. Saya menulis kisah ini atas desakan jiwa saya yang ingin sangat berkongsi rasa dengan semua.
Baru-baru ini saya pergi ke sebuah pusat pengajian tinggi untuk bertemu dengan pensyarah pembimbing kajian tindakan. Itu merupakan kali ke tujuh saya masuk ke jabatan tersebut untuk semakan kajian sebelum dihantar. Kunjungan saya ke sana biasanya disambut dengan keramahan dan kemesraan pensyarah-pensyarah di jabatan berkenaan. Mungkin menyedari saya adalah pelajar yang dah berumur, saya dilayan sebagai orang dewasa, tidak terlalu mengikut protokol seperti melayan pelajar lepasan sekolah. Saya memuji kebaikan dan keindahan bahasa yang dipamerkan kebanyakan mereka.
Namun kunjungan saya sekali ini, memberikan saya gambaran yang amat berbeza. Seperti biasa, sesampai sahaja di luar pintu jabatan saya ketuk pintu dan memberi salam. Kelihatan seorang pensyarah dengan seorang pelajarnya yang juga kenalan saya dari kelas lain. Setelah memberi salam, saya pun bertanya
"Tuan Haji ###$$ ada?"
"Tuan haji...tuan haji, awak ni kan, asal orang berkopiah sahaja tuan haji. Pada awak haji tak haji orang ada pada songkok ke? Mengukur orang ikut sedap hati sendiri saja, mana dia pergi haji lagi. Awak ni mengukur orang guna apa? Guna songkok ka? Pergi tunggu di luar kejap lagi dia datang" tambahnya lagi dengan suara yang tinggi... dengan pandangan ekor matanya penuh benci.

Terkedu saya. Malu sungguh saya waktu itu. Apatah lagi saya diratah mentah-mentah di depan kawan sekuliah yang turut merasai derita hati saya waktu itu. Perasaan kawan saya jelas kelihatan di wajahnya yang penuh simpati memandang ke arah muka saya.

Pada mulanya terasa air mata bagai hendak terhambur dari kelopak mata, namun saya tarik nafas dalam-dalam dan cuba buat diri saya tenang seketika. Rasa untuk membalas kata-katanya? Memang ada rasa begitu, namun sekiranya saya menjawab saat itu, saya tidak berbeza daripada dia. Tentu saya akan buatkan air mukanya jatuh di depan pelajarnya.

Dengan penuh malu, saya keluar seperti yang diarah. Saya menelefon pensyarah pembimbing saya. Tidak lama kemudian, pensyarah saya muncul. Seperti biasa, wajah bersihnya menguntum senyuman buat saya, menghilangkan seketika luka di hati saya sebentar tadi. Saya dipersilakan duduk seperti biasa, dan dibimbing dengan penuh hikmah. Setelah berurusan dengannya saya balik. Kajian saya selesai, namun sehingga tulisan saya ini saya tulis, masih ada rasa yang terbuku di hati saya.Rasa ada perkara yang belum selesai.

Saya utarakan situasi ini agar mereka yang kononnya berpendidikan tinggi, tidak begitu mudah dan sewenang-wenang mengabaikan adab dan nilai akhlak yang tidak dapat diikur dengan pencapaian dalam akademik.

Dalam situasi saya, saya masih boleh menerima seandainya saya diberi penjelasan, bahawa pensyarah saya bukan status tuan haji dan panggil sahaja dengan gelaran encik, tuan atau apa-apa yang difikirkan sesuai, bukan dihambur dengan kata-kata bersama-sama emosi yang membunuh rasa hormat saya padanya.

Saya rasa amat bersyukur, kerana Tuhan menghadiahkan saya suatu situasi yang akan mengingatkan saya sampai bila-bila, betapa walau apa saja kelebihan yang ada pada saya, sama ada pangkat, darjat dan kekayaan, perasaan dan maruah manusia perlu dijaga. Semua manusia ada harga diri yang tidak boleh sewenang-wenangnya dihenyak dan dipijak mengikut emosi kita semata-mata.

Thursday, July 7, 2011

Mengenal Dunia Penulisan




Hari ini hari ke 6 berada di Sungai Buluh, Teluk Intan, kerana mengikuti Kursus Penulisan Manuskrip Buku. Kursus yang menarik sebenarnya. Menghabiskan sebulan di sini sebenarnya amat berbaloi. Itu sejujurnya yang saya rasa. Tidak dinafikan banyak kekangan untuk saya berada di sini. Namun, setelah berada di sini, amat rugi tidak bersungguh-sungguh mengutip semua pengalaman baru yang amat berharga. Berguru dengan penulis-penulis buku, membuat saya amat teruja. Pengalaman langsung daripada Puan Habibah dan Puan Norehan sebagai penulis buku, mendekatkan aku dan kawan-kawan lain dengan dunia penulisan. Bagai ada arah untuk dituju, dalam dunia tulis menulis.

Pada saya menzahirkan rasa itu suatu keperluan. Penzahiran cara penulisan itu amat indah. Segala perasaan menjadi begitu tertib dialirkan dengan baris-baris ayat yang tersusun. Biar ia puisi, mahupun prosa. Itu pandangan saya. Mungkin itu yang menyebabkan ada sekumpulan orang obses dengan penulisan. Itu yang dapat saya simpulkan daripada pendapat peserta-peserta lain yang berada di sini. Apa tidaknya, kami yang diberi kesempatan dan tunjukajar di sini, masing-masing senyap tak bersua, kerana cuba menghasilkan karya. Bilik kuliah yang memuatkan 25 orang peserta sepi tanpa suara. Memang pengalaman yang indah, diberi masa, diberi tunjuk ajar untuk melakukan sesuatu yang seiring dengan jiwa.
Mengikuti kursus ini, meletakkan diri saya sebagai pelajar. Keadaan ini membuatkan saya benar-benar teringat pelajar-pelajar yang saya tinggalkan selama sebulan. Gaya penyampaian pensyarah-pensyarah di sini, menjadi cermin diri kepada saya sebagai seorang guru. Agaknya sampaikah ilmu yang ingin saya sampaikan kepada mereka. Emm.. memang perasaan bercampur baur. Walau apapun mencari ilmu dan memberikan ilmu 2 diantara 4 pesan nabi;

Dari Abi Bakrah r.a dari Nabi s.a.w sabdanya yang bermaksud: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama ataupun orang yang menyintai (tiga golongan tersebut), dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, maka engkau akan binasa". (Diriwayatkan oleh: Al Bazzar).

Hari ini semua peserta kursus dibenarkan balik ke rumah masing masing. Masing-masing akan balik ke tiga negeri yang berlainan, iaitu Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Kami akan bertemu semula, meneruskan penjelajahan ilmu pada hari Isnin. Saat ini hati berbunga pulang kepangkuan keluarga tercinta :)

Wednesday, July 6, 2011

Makna Usia

Makna Usia
Buanamaya
PPT Permatang Pauh (Isu 55 OUM 2011)

Usia ini..
telah ku hitung berkali-kali
telah ku renung bukan sekali
namun jawapannya seringkali tidak serupa
Lalu ku tanya kenapa..

Ku jawab sendiri...suatu ketika itu
remaja ku.. usia beranjak...aku pun rasa semakin dewasa
dan segala-galanya ingin ku gapai sebelum datangnya tua
tua yang tidak memberi apa-apa...
hanya mengecap usia zaman remaja..

Ku jawab lagi..

Usia.. makin tak bermakna dan semakin kalut

untuk mengisi makna sebuah kehidupan..

pabila angka semakin besar


Kini ....
Ku temui makna yang sedikit bernyawa..
di arena belajar ini.. usia akan ada nilainya
Tatkala peluang yang terbuka ini
terus insan itu mengisi dengan tabah dan sabar
dan akhirnya...
Aku rasa usia ini.. bermakna
hanya kerana sebuah kemahuan..



*Kunukilkan puisi ini buat tatapan diri yg acapkali kurang menghargai masa yang berlalu pergi.....

Sunday, June 5, 2011

Kita Tak Punya Apa-apa...



Malam semakin sunyi. Kesunyian itu...memang aku cari. Kesunyian memberi aku suatu rasa yang mendamaikan. Memang lelah jugak menghabiskan masa hari ni. Namun letih dalam kesibukan membuatkan aku mengelakkan mindaku tertumpu pada suatu rasa yang sengaja kusembunyikan. Namun..sunyi malam membuatkan aku menjengah kembali realiti. Realiti yang hidup ini berkisar tentang kesementaraan. Sementara untuk apa-apa saja. Memiliki..merasai..mempunyai... Penamatnya tidak akan ada yang akan kekal selama. Untuk itu tuhan jadikan dunia hanya tempat persinggahan untuk suatu perjalanan menuju abadi. Dunia dan isinya hanya pinjaman demi kelangsungan hidup yang bermacam rupa.

Kita mencorak kehidupan dengan apa-apa saja yang mutlak milk Dia. Mencorak perasaan, mencorak jiwa, mencorak segala yang adakalanya kita namakan bahagia, derita, kemusnahan, kesesatan. Oh tuhan padaMu kurafakkan kehadratmu pengharapan...biar istiqamah di jalanMu menjadi milikku sehingga nafas terakhirku...

Aku terus mengecapi nikmat malam. Skrip jawapan kertas BM peperiksaan pertengahan tahun masih ada yang belum aku semak. Sengaja aku berhenti seketika untuk merehatkan minda dengan suara lunak Allahyarham ustaz Asri -"Mana Milik Kita". Setiap patah kata dalam lirik nasyidnya mampu membawa sesiapa saja muhasabah diri. Semoga sesiapa yang singgah di blog ini dapat sama2 menikmatinya sebagai halwa telinga. semoga bait2 nasyid ini juga dapat mencuit hati kita yang paling dalam berfikir tentang Maha Besarnya Tuhan.

Friday, May 20, 2011

Selamat hari guru Ustaz Azizi..


"Seorang tua di kaki gunung"... paparan cerita di kaca telivisyen waktu zaman kanak-kanak dulu melekat dalam kepala sampai sekarang. Wajah tamar Jalis lebih dulu kukenali sebagai sorang tua yang punya jiwa rawan tika mana tanah tumpah darah dirongkah kemodenan. Lukisan dan paparan kisah yang tak mungkin dapat aku lupakan . Apatah lagi stesen tv boleh dihitung dengan sebelah jari. Sebuah kisah sarat dengan kasih sayang yang bertali-tali........

Masa terus berganjak. Perlahan... tapi meninggalkan lagi aku jauh dari dunia sastera. Apa yang aku tahu menikmati karya dan entah kenapa bagai tidak teruja menjejaki pengkaryanya. Sehinggalah kuliah Pedagogi di Maktab Batu Pahat tahun 1995. Terkenang lagi waktu pensyarah Bahasa Melayu masuk ke kelas tanpa riak wajah memulakan kuliah dengan mengkisahkan suatu ceritera. Ya...penceritaan yang hebat. Berakhir dengan terbenamnya mata lembing di dada beruk yang berjasa...

Cerpen Beruk karya Azizi Abdullah berbekas di sanubari aku. Kerana aku guru. Cerpen Beruk sentiasa mengingatkan aku supaya menjadi guru yang benar2 belajar dari kehidupan untuk memberi makna pula pada kehidupan para pelajarku. Cikgu Sunan dan Alias...Watak yang dilukis ustaz Azizi sarat dengan cinta pada sebuah PENGERTIAN.....

(Saat aku menulis, Ustaz Azizi masih di ICU Penang. Doaku moga Ustaz Azizi cepat sembuh)

Ingin Ku Baca sekali lagi Kisah yang amat menginsafkan aku yang bergelar guru...

Cerpen Beruk

Beruk!

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.

“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu

Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.

“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.

“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

“Saya cari, cikgu!”.

“Dah jumpa?”.

Alias angguk. Tersenyum.

“Sebab itu kau datang lambat?”

Angguk juga.

”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.

“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.

“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.

Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.

Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.

“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.

“Dia panjat pokok kelapa?”

“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.

“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.


Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.

“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.

“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.

“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.

Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.

“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.

Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.

Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.

Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.

Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.

“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.

“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.

“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.

“Cikgu…”

“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.

“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”

Alias duduk. Kaku. Sedih.

“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.

“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

“Kenapa?”

“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini.

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.

Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970


Thursday, May 19, 2011

Hobi Baru..


WholemealBun Manis-coklat

Roti Piza

Hobi baru!! Emm seronok, melekakan dan memang x dapat elak..memenatkan jugak. :) Kepuasan menjadi pulangan yang berbaloi. Melihat hasil dan menikmati rasa roti buat sendiri, tak sangka ada cara mudah menyediakan hidangan yang selalunya kena beli dari kedai. Bonusnya lagi..semua jenis roti air tangan "umi"...jadi kegemaran anak2 dan suami :)

Secebis Kisah Di celah-celah Kehidupan


Berilah Ruang Untuk Sebuah Penjelasan

Oleh Buanamaya

Anak itu dalam mendaki usianya mencari-cari makna untuk diisi dalam kantung kehidupan yang bakal didepaninya. Siapa lagi andai bukan ibu dan ayah didambanya seteguk kasih dalam pencarian makna yang panjang itu.

Suatu hari , lewat petang, si anak yang baru saja dihadiahi wang sepuluh ringgit daripada datuknya sempena hari jadi berlari pulang dengan senyuman yang lebar, sebesar hasratnya yang terbungkam beberapa hari lalu.

Sesampai di pintu rumah, dilihat ibunya sedang melipat baju. Tanpa berlengah, dia terus meminta kebenaran untuk ke pasar malam yang belum pernah sekalipun dijejaknya. Si ibu pada mulanya enggan memberi kebenaran kerana wang yang ada tidak diperuntukkan untuk anak ke pasar malam. Lagipun si ibu risau,kerana anaknya itu tidak pernah ke sana. Setelah mendengar penjelasan anaknya, si ibu akhirnya memberi kebenaran dengan pesanan supaya balik sebelum azan Maghrib berkumandang. Bersinar mata anak itu kegembiraan dan terus dia berlari ke destinasi.

Petang sudah merangkak ke senja namun, wajah anak itu belum lagi kelihatan. Azan juga sudah berkumandang. Si ibu mula dihimpit kerisauan. Dari dalam rumah kedengaran enjin motosikal suaminya yang baru pulang dari kerja. Sejurus masuk, si ayah bertanyakan anak-anak. Pastinya semua ada, kecuali anak sulungnya. Muka si ayah merah padam kerana marah. Mana mungkin anak lelakinya belum balik sedangkan burung sudah senyap di sarang. Darahnya menyirap ke muka, sambil dia menunggu di muka pintu. Tiba-tiba, sekonyong-konyong tubuh anak lelakinya muncul tercungap-cungap. Belum sempat tegak berdirinya, penampar si ayah hinggap di mukanya bertubi-tubi bersama sumpah seranah bagai tidak dapat dikawal lagi. Si anak menatap tanah dengan pandangan yang kosong bersama-sama deraian air mata tanpa suara.

Si ibu mengintai dari kejauhan dengan dada sebu, tanpa kata-kata. Diambilnya wuduk dan menunaikan solat Maghrib dengan permintaan yang panjang kepada Ilahi. Tiba-tiba, anak lelakinya merapatinya sambil membisik sayu……

"Ibu selamat hari ibu. Izani pergi pasar malam nak belikan ibu hadiah. Izani lambat sebab Izani tak jumpa hadiah yang sesuai untuk ibu. Ada banyak tapi semuanya mahal-mahal ".Tangan ibu diciumnya dengan deraian air mata sambil menghulur hadiah kecil buat ibu yang tercinta. Lantas, rantai tangan manik pemberian anak lelakinya itu dikenakan di tangan kirinya yang kosong selama ini.

Saturday, May 14, 2011

Sasterawan Negara Kita



Hari ni agak lapang. Banyak kerja yang dah disiapkan. Memang nak sangat update blog ni, tapi kesuntukan masa. Pada 3 mei lalu Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, 70, diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Jadi aku terpanggil untuk menghimpun peristiwa ini dalam blog. Sekadar berkongsi maklumat tentang mereka yang dianugerahkan tuhan minda berkarya. Melalui karya, mereka menyalurkan segala dari indera. Anugerah yang diberi sememangnya amat bermakna sebagai mengiktirafkan golongan seperti mereka. Sasterawan Negara merupakan anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera Bahasa Melayu. Berikut merupakan senarai penerima Anugerah Sasterawan Negara

1. 1981 : (Dr) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas

2. 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad

3. 1983 : Datuk (Dr) Usman Awang

4. 1985 : Datuk (Dr) A. Samad Said

5. 1987 : (Dr) Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati

6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh

7. 1993 : Datuk Noordin Hassan

8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain

9. 2003 : Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan

10. 2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan

11. 2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala



1981 : Kamaludin Muhammad (Keris Mas)

1982 : Shahnon Ahmad

1983 : Datuk Dr. Usman Awang

1986 : Datuk A. Samad Said

1988 : Muhamad Abdul Biang (Arena Wati)

1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
1993 : Datuk Noordin Hassan
1996 : Datuk Abdullah Hussein

2003 : S Othman Kelantan

2009 Mohd. Anuar Rethwan

2011 Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah ( Kemala)

Semoga kita menghargai karya-karya Sasterawan Negara kita, dengan membaca dan menikmati karya mereka. Kalau ada kesempatan, kita akan berkongsi sedikit sebanyak latar belakang mereka, ye. wassalam.









Monday, January 3, 2011

Pelajar padaku...

Teruja sebenarnya utk mengajar semula. Rindu kerenah pelajar. Padaku pelajar adalah sumber inspirasi. Ada tikanya merekalah pengubat derita hati dan perasaan. Keletah, kerenah, melenyapkan seketika segala emosi yang kusembunyikan dari dunia nyata. Adakalanya patah-patah kata yang keluar dari mulut mereka yang menyentak sanubari dek kerana terusik kenangan2 lalu. Adakalanya lontaran-lontaran kata mereka yang jujur menjadi cerminan diri. Pelajar padaku, medan muhasabah yang luas. Mahu atau tidak, mereka antara guru yang kukutip ilmu-ilmu di sepanjang denai kehidupan. Pelajar mungkin kurang pengalaman namun kaya ketelusan.